Risau tak mampu
Aku anak orang kampung. Sejak kecil lagi aku terdedah dengan aktiviti lasak. Menanam padi daripada proses menyemai sehinggalah membanting adalah perkara biasa bagi aku. Menjerat burung Wak-Wak dan Ayam Hutan menjadi acara tahunan bila aku mengikut atuk ke hutan.
Aktiviti lasak aku bawak ke sekolah menengah. Aku adalah pemain ragbi sekolah. Dan aku adalah ahli Kelab Adventure kat sekolah. Antara aktiviti kelab tersebut adalah mendaki gunung. Kami pernah menakluk Gunung Tebu di Terengganu 20 tahun yang lalu. Waktu itu jalan untuk ke puncak masih denai laluan haiwan hutan yang asli.

Namun dah berbelas tahun aku tak membuat aktiviti lasak sebegitu. Sejak aku terlibat dalam kemalangan kereta yang menyebabkan kereta Iswara Aeroback aku tak dapat diselamatkan lagi.. Total Loss!!!
Aku mengalami “dislocated hip” di mana kaki kanan aku hampir tercabut daripada mangkuk tulang peha. Sejak itu aktiviti sukan aku sangat terbatas. Nak berlari laju-laju pun terpaksa fikir banyak kali. Risau kaki terkeluar lagi lagi daripada mangkuk tulang peha yang dah retak.
Orang biasa bersukan, apabila tak dapat bersukan tanpa kawal selera makan, memang badan naik mendadak. Itulah yang terjadi pada aku. Walaupun dulu aku bukan kurus cekeding, tapi badan aku dulu agak fit. Cergas ke sana sini.
Fikir dua kali
Sebab itu apabila menerima jemputan daripada Cyberview Resort & Spa bebaru ni aku fikir banyak kali. Mampu ke aku nak buat pelbagai aktiviti lasak tu semua. Berat badan aku sendiri pun rasa dah berat kaki aku nak bawak. Inikan pula terpaksa buat aktiviti teambuilding yang pasti lasak.

Akhirnya aku ambil keputusan untuk turut serta dengan harapan aku dibenarkan berkecuali dalam aktiviti yang aku rasa tak boleh buat. Lagipun yang ikut serta semua rakan-rakan blogger yang aku kenal yang punya “kepala masuk air”. Dan aku lebih kepada ikut serta untuk tolong jadi cameraman untuk peserta lain.
Tentatif hari pertama
Aktiviti berkumpulan / Ice Breaking (Pukul 9.15 – 12.00 pm)
Selesai bersarapan di Verandah Restaurant, kami terus ke sesi pertama Team Building, Sesi Ice Breaking.
Ice breaking ni sebenarnya tidak kritikal sangat bagi kami kerana semua blogger yang hadir dah kenal antara satu sama lain. Cuma ia sangat perlu diadakan sebagai sesi pemanas badan dan untuk memastikan mood team building hadir ke dalam diri masing-masing.
Di sinilah kami mula mengenali En Idris (masa ni tak tau lagi kehebatan bekas tentera sarjan bersara ni). Aku ingatkan beliau hanya seorang instructor team building yang mendapat latihan biasa saja. Di hari kedua baru kami tau akan kehebatan kemahiran dan pengalaman Sarjan Idris ni. Nantilah kalau sempat aku selitkan serba sedikit tentang diri beliau yang sangat aku kagum.


Dalam sesi ini kami dibahagikan kepada 2 kumpulan. Tugasan yang diberikan adalah kami dikehendaki berbincang dalam masa yang diberikan untuk:
1. memberi nama kumpulan
2. mencipta war cry
3. membina logo kumpulan
4. merangka visi dan misi kumpulan
5. membuat persembahan
Team aku kami namakan Buddies Blogger, dianggotai oleh Lan Careno, Fazrol, Qaseh, Mimin selain daripada aku sendiri. Manakala team satu lagi menghimpunkan Ujang, Daus, Angah Judin, Mimin, Uzu dan Yanty. Mereka menamakan kumpulan mereka sebagai X-Team.


Sesi Ice Breaking ini berjalan lancar dan segala tugasan berjaya dilaksanakan di dalam masa yang ditetapkan. Antara faktornya ialah kami sudah tidak segan silu untuk mengeluarkan segala idea dan pendapat masing-masing.
Di sesi inilah juga ‘Mila’ diperkenalkan kepada kami. Mila ialah sebatang kayu bercat biru yang agak berat. Pasukan yang kalah pada hari tersebut akan dipertanggungjawabkan untuk menjaga Mila. Mila wajib dibawa kemana-mana sahaja pasukan itu pergi.
Diselitkan juga beberapa permainan yang menguji minda dan semangat berpasukan. Antaranya ialah menyusun 8 batang paku untuk diletakkan di atas sebatang paku lain yang tegak. Syaratnya kelapan-lapan paku tersebut berada di atas paku tegak itu secara serentak. Aku pernah menyelesaikan permainan ini sewaktu training bersama Prudential dulu. Tapi sayang aku dah lupa caranya.
Satu lagi permainan ialah kami dikehendaki melontar bola kepada rakan dalam 5 pusingan dalam masa beberapa saat. Haaa memang mencabar wei..!

Sesi ini dihentikan pada pukul 12 tengahari untuk memberi laluan kepada makan tengahari dan solat Jumaat.
Selesai sahaja sesi ice breaking, kami diberi kunci bilik masing-masing untuk kami masuk dan menyelesaikan apa yang patut. Melangkah sahaja masuk ke bilik 197 (bilik aku), terus perasaan terpegun menyelinap masuk ke dalam diri. Perghh selesa gila bilik Cyberview Resort & Spa (CRS) ni.
Hurrmmm nak jer aku cerita pasal bilik dan fasiliti hotel kat sini. Tapi tahan dulu. Entri ni memang aku khaskan untuk cerita tentang Team Building yang ditawarkan oleh CRS sebagai salah satu tarikan kepada pengunjung di luar sana. Mana nak cari wei.. Tempat buat team building dengan pakej penginapan hotel 5 bintang..!
Aktiviti sebelah petang (pukul 3 – 6 petang)

Kami menaiki coach yang disediakan oleh pihak hotel untuk ke satu tempat yang tak jauh dari situ. Tempat yang juga di bawah pengurusan Cyberview Resort & Spa tetapi lebih kepada penyewaan apartment samada sewa untuk jangkamasa pendek maupun panjang. Kat sini juga terdapat fasiliti yang bagus seperti bilik untuk permainan indoor dan kolam renang yang cantik. Sangat sesuai untuk membuat aktiviti dalam air.
Permainan Indoor
Kami berkumpul di dalam satu bilik yang besar untuk aktiviti permainan indoor.
1. Monkey walk
Mata perserta ditutup. Perserta dikehendaki membawa 3 biji bola. 1 diselitkan di bawah ketiak kanan. 1 di bawah ketiak dkiri dan 1 lagi di celah kelangkang. Dan perserta dikehendaki membawa bola-bola tersebut daripada tempat mula, melalui halangan pusingan kerusi dan balik semula ke tempat asal.

Peserta yang membawa bola tersebut akan dipandu oleh seorang jurupandu yang hanya boleh mengarahkan dengan perkataan kanan, kiri dan terus sahaja tanpa dibenarkan menyentuh perserta yang membawa bola.
Antara pengajaran yang dapat daripada permainan ini ialah bagaimana kita memberi kepercayaan yang penuh kepada pemberi arahan, walaupun kita tidak nampak dan tahu adakah arahan tersebut betul ataupun salah.
Untuk permainan ini kami terpaksa akur dengan X-Team yang lebih tangkas. Tak per ada banyak games lagi.
2. Giant Dice (Dadu Gergasi)
Seorang wakil diperlukan daripada setiap pasukan untuk menjadi pembaling dadu gergasi. Perserta lain membuat 2 barisan mengikut team masing-masing dengan kaki terikat antara satu sama lain.

Jika pembaling dadu berjaya mendapatkan nombor genap, pasukannya akan melangkah mara ke hadapan mengikut nombor dadu yang diperolehi. Manakala jika pembaling dapat nombor ganjil satu pasukan terpaksa melangkah undur ke belakang.
Permainan ini dimenangi oleh pasukan aku, Buddies Blogger..!!! Yesszaaa..!
3. Mengimbang bola pingpong atas paip
Dalam permainan ini kami semua bergabung di dalam satu pasukan. Satu tiub paip berlubang berukuran kira-kira 8 inci panjang diikat dengan 10 helai tali lembut. setiap seorang daripada kami hendaklah memegang sehelai tali dan menarik tali tersebut secukup rasa supaya paip itu tegak di udara.

Sebiji bola pingpong diletakkan di atas lubang paip tersebut. Kami dikehendaki membawa bola pingpong di atas paip tersebut mengelilingi bilik yang besar tersebut melalui luar bilik.
Sangat mencabar permainan ni. Awal-awal lagi bola pingpong dah jatuh kerana batang paip tidak tegak. Dan yang sakit hatinya, kalau bola pingpong jatuh kami dikehendaki memulakan semula di tempat kami mula tadi.
Aku memang tak sangka kami berjaya melakukannya. Rupanya permainan ini memerlukan fokus dan konsentrasi yang tinggi daripada setiap perserta. Semua memainkan peranan masing-masing. Mata perlu difokuskan kepada bola. Seorang jer hilang fokus, confirm bola jatuh.

Pengajarannya, di dalam satu pasukan, semua ahli pasukan adalah penting. Tiada yang tidak penting. Semua memainkan peranan masing-masing. Setiap idea yang dikeluarkan hendaklah diambil kira. Jangan merendahkan pandangan rakan sepasukan.
Best permainan ni..!
4. Mengeluarkan bola ping pong dalam batang paip.
Sebatang paip yang bersaiz agak besar ditebuk dengan lubang-lubang dikelilingnya. Kemudian sebiji bola pingpong dimasukkan kedalam paip tersebut sehingga ke dasarnya.

Tugas kami ialah mengeluarkan bola pingpong tersebut dengan memasukkan air ke dalam paip untuk mengapungkan bola tersebut sehingga ia terkeluar daripada paip tersebut dengan sendirinya.
Cabaranya ialah paip tersebut berlubang. Jadi kena berkerjasama dengan sebahagian daripada kami untuk menutup lubang dan sebahagian yang lain memenuhkan air ke dalam batang paip.
Ya nampak macam senang. Tapi susah wei.. Hahaha.. Beberapa kali juga air tersembur keluar kerana lubang tidak ditutup dengan sempurna. Dan bukan senang nak tutup lubang-lubang tu dengan jari. Lenguh dan kejang dibuatnya..!
Dan akhirnya kami berjaya juga mengeluarkan bola pingpong..! Tahniah..!
Water confidence
Seterusnya kami ke aktiviti ‘Water Confident’ pulak. Sebelum ni aku pernah melakukan aktiviti Water Confident ini sewaktu menghadiri hari keluarga KBBA9 di Legend Cherating Beach Resort Hotel tahun lalu. Cuma bezanya dulu water Confident di dalam laut. Kali ini di dalam kolam renang.
Aktiviti ini berupa panduan keselamatan sebenarnya. Apa yang perlu kita lakukan jika bot ataupun kapal yang kita naiki karam di tengah lautan.


Semua ada cara-caranya mengikut keadaan. Cara terjun juga diajar dan ia berbeza jika terjun daripada bot/kapal yang besar dan kecil. Kami juga diajar cara mengendalikan ‘life jacket’ yang berbeza keupayaannya untuk bertahan sebelum tenggelam.
Tips lain yang dikongsi ialah bagaimana untuk meminta pertolongan di kala kita sedang terapung di lautan. Bagaimana pentingnya kita berkumpul membentuk dan bergerak dalam satu kumpulan di tengah lautan sementara bantuan tiba.



Kat sini juga baru aku tau fungsi nombor kecemasan 122. Nombor ini ialah nombor kecemasan universal. Seluruh dunia mengenali nombor ini sebagai nombor kecemasan dan pasukan keselamatan negara tempat berlaku kejadian kecemasan akan sentiasa bersiap siaga untuk memberi bantuan.

Nombor ini boleh didail menggunakan telefon bimbit walaupun di kala itu tiada signal telefon.
Night Walk (9.30 – 10.30pm)
Usai berehat seketika sementara menunggu makanan yang best di Verandah Restaurant tadi hadam, kami dikehendaki berkumpul di lobi untuk aktiviti seterusnya, ‘Night Walk’.

Ini pertama kali aku sertai aktiviti Night Walk ni. Tapi masa sekolah dulu banyak jugak aku buat Night Walk ni secara tidak langsung. Berjalan di malam hari di dalam hutan mengikut atuk aku menjerat ayam hutan juga night walk. Berjalan mencari kayu untuk masak dan unggun api semasa perkhemahan juga night walk. Cuma kali ini lebih formal.
Dalam aktiviti ini kami dilepaskan seorang demi seorang melalui denai sempit di tengah hutan di dalam kepekatan malam yang gelap. Haaa mencabar jugak tu..! Terdetik jugak rasa cemas terutama bila Sarjan Idris mengatakan diorang akan membuat gangguan sedikit di sepanjang night walk kami tu.
Hanya tali yang telah dipasang dipegang sebagai pemandu arah, seorang demi seorang dikehendaki berjalan lebih 1km menuju ke destinasi. Denai yang tidak terlalu senang dan tidak terlalu sukar. Adakala mendaki adakala mendatar.
Akhirnya semua berjaya sampai ke destinasi. Ada la sikit gangguan yang petugas cuba buat seperti bunyi ranting patah dan sebagainya. Dalam hati memang cemas la jugak. Mulut tanpa putus dengan bacaan ayat Al-Quran.
Giller wei.. di tengah hutan ni bukan tempat kita. Dibuatnya ada makhluk yang ikut dan kacau.. Haaa…!!! (Perghh tetiber pulak aku meremang tulis pasal ni.. huhuhu)

Alhamdulillah semua berjaya tamatkan Night Walk tanpa apa-apa insiden yang tidak di kehendaki. Kami balik ke bilik dengan penuh bangga kerana berjaya melakukan semua aktiviti seharian hari pertama ni dengan jayanya.
Selepas pekena kopi selepas sesi tu, kami sambung pulak dengan sesi membawang.. hahaha.. Sampai pukul 12 lebih jugak kami membawang dengan pelbagai isu. Hahaha..!
So balik tidur dengan badan yang sungguh penat. Besok nak sambung lagi aktiviti untuk separuh hari lagi..
Baca juga: surah al kahfi 1-10
Membawang tak ajak hahah
mana leh ajak qaseh. sbb subjek membawang adalah pasal qaseh
Selepas sesi membawang tak citer ke buat apa pulak? Ooo ko terus tido kan… Ruginya.. Hahaha…
hahah.. demmm