Di sekitar Lembah Kelang sebenarnya terdapat banyak juga tempat untuk peminat aktiviti outdoor dan mendaki (hiking) daripada yang tahap kesukaran pendakian mudah sehinggalah yang sederhana. Salah satu yang menjadi tumpuan peminat aktiviti mendaki adalah Bukit Broga ataupun Broga Hill.
Pengenalan
Bukit Broga Hill, juga dikenali sebagai Bukit Lalang, merupakan sebuah destinasi pendakian yang terkenal di Malaysia, terutama bagi penduduk sekitar Lembah Kelang dan negeri yang berjiran dengan Selangor seperti Negeri Sembilan. Ia dikenali sebagai ‘Bukit Lalang’ kerana banyaknya spesis rumput lalang yang tumbuh subur di bukit ini.

Lalang Terbakar
Lalang ini pernah terbakar suatu ketika dahulu sewaktu musim kemarau menyebabkan kawasan tersebut hitam disebabkan abu daripada lalang kering yang terbakar.
Baca: Bukit Broga Terbakar
Terletak di daerah Semenyih, Selangor, Broga Hill menawarkan pengalaman pendakian yang unik dengan pemandangan indah yang menakjubkan. Bukit ini menjadi tarikan terutamanya bagi mereka yang gemar aktiviti sukan lasak dan pencinta alam semula jadi.
Bukit Broga Hill mempunyai tiga puncak yang mempunyai ketinggian sehingga mencecah 400 meter dari paras laut. Ketinggian ini dikira sebagai ketinggian sederhana untuk pendakian menjadikannya popular sebagai destinasi bagi mereka yang meminati aktiviti pendakian, terutama bagi yang baru menjadikan aktiviti mendaki sebagai hobi. Di sinilah mereka dapat mengasah kemahiran sebelum mengambil pengalaman mendaki bukit atau gunung yang lebih tinggi.
Bukit ini telah diwartakan oleh Kerajaan Negeri Selangor pada tahun 2017 sebagai kawasan rekreasi seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara dengan Setiausaha Kerajaan Negeri sebagai Pegawai Pengawal dan diselenggara Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).
Lokasi Bukit Broga Hill
Broga Hill terletak dalam kawasan Semenyih, Selangor, dan mempunyai akses mudah dari Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya. Jaraknya hanya kira-kira satu jam perjalanan dari Kuala Lumpur dan berhampiran dengan Negeri Sembilan.
Peta Bukit Broga Hill
Cara untuk sampai ke Bukit Broga Hill
Kalian boleh menggunakan kenderaan sendiri atau menggunakan perkhidmatan bas atau teksi untuk sampai ke destinasi ini, iaitu di kaki bukit broga hill
Aktiviti Menarik di Bukit Broga Hill
Apa yang menarik sebenarnya di Bukit Broga Hill ni? Sehinggakan menjadi tumpuan ramai terutama di hujung minggu. Jom kita tengok apa ada di Bukit Broga Hill. Apa aktiviti yang boleh dibuat di Bukit Broga Hill.
Hiking / mendaki
Aktiviti utama di bukit broga ini ialah hiking ataupun mendaki. Dengan ketinggian 400 meter daripada aras laut dan trek pendakian yang tidak terlalu sukar, aktiviti mendaki di Bukit Broga adalah pengalaman yang menarik dan memukau mata bagi pencinta alam semula jadi dan penggemar sukan lasak.

Tahap kesukaran pendakian di sini dikategorikan di dalam kategori sederhana. Inilah antara punca kenapa ia menjadi tarikan ramai pendaki terutama pemula ataupun yang baru menceburi aktiviti mendaki.
Manakala untuk pendaki “otai” pula, mereka memilih Bukit Broga Hill untuk sekadar berlatih dan mengekalkan stamina sambil menikmati pemandangan alam semulajadi.
Bukit Broga mempunyai 3 puncak. Puncak pertama dan kedua menawarkan pemandangan panorama yang indah ke sekitar kawasan sekeliling, manakala puncak terakhir mempunyai pemandangan terhalang.
Pastikan kalian tawan ketiga-tiga puncak..!
Info tambahan
Disebabkan populariti dan jumlah orang yang melalui trek Bukit Broga, beberapa bahagian trek telah mengalami kemerosotan keadaan yang menunjukkan tanda-tanda hakisan tanah. Pada masa kini, terdapat dua trek ke puncak Bukit Broga. Kedua-dua trek ini bermula dari tempat letak kereta, berpecah di permulaan trek Bukit Broga, dan bersatu semula di puncak kedua.
Merakam gambar
Ini adalah aktiviti wajib setelah kalian sampai di puncak. Terutama jika kalian sampai di saat matahari mula mengintai dan memancarkan cahayanya. Saat ini adalah yang paling berharga dan cantik yang tak terdapat di tempat lain.

Jadi rakamkanlah detik-detik tersebut untuk kenang-kenangan kalian. Percayalah, bila saat ini tiba, terasa segala penat lelah mendaki tadi hilang dan rasa sangat berbaloi!
Selain itu, pemandangan yang menakjubkan dari puncak Bukit Broga juga termasuk padang rumput lalang yang menghijau yang luas, sawah padi, dan beberapa bukit-bukit lain yang membentang sebagai latar belakang.
Tips untuk pendaki baru
Baju dan Seluar
Pilihlah baju dan seluar yang ringan dan menyerap peluh. Kerana pendakian ini walaupun tidaklah sesukar mana baki otai, tetapi ia mungkin sesuatu yang bukan biasa-biasa bagi pemula ataupun pendaki yang baru menceburi hobi ini. Yang pastu ia akan mengerah segenap peluh jantan kalian untuk sampai ke puncak sana.
Kasut
Walaupun tahap kesukaran pendakian adalah sederhana namun ada laluan yang agak licin, terutama jika kalian mula mendaki di waktu awal pagi ataupun selepas hujan. Jadi carilah kasut yang sesuai yang ada cengkaman pada tapaknya. Nak senang pergi kedai beli jer kasut yang khas untuk hiking.
Minuman dan makanan
Bawalah air secukupnya dan makanan yang boleh dimakan segera. Kalian boleh makan dan minum di puncak sana untuk memulihkan kembali tenaga yang hilang sewaktu mendaki tadi.
Ada juga pendaki yang membawa peralatan memasak khas untuk perkhemahan. Kat atas sana mereka boleh menjamu selera dengan mee segera. Best juga tu makan mee segera panas-panas dalam suasana sejuk dengan pemandangan panorama yang indah.
Masa yang sesuai untuk mendaki Bukit Broga Hill
Seeloknya mulakan pendakian di awal pagi. Antara kelebihan memulakan pendakian di awal pagi, kalian boleh elakkan dari panas matahari. Ini akan mengurangkan keletihan sewaktu mendaki.
Kalian boleh buat kira-kira dan anggaran sedikit. Semak waktu matahari mula naik. Kemudian buat anggaran pukul berapa untuk mulakan pendakian. Masa yang diambil untuk sampai ke puncak adalah antara 40 minit hingga 1 jam untuk pendakian santai. Jadi rancangkan waktu pendakian kalian
Kamera
Penting ni. Jangan lupa untuk membawa kamera untuk rakamkan saat indah dan menakjubkan sewaktu matahari mula keluar memancarkan cahayanya. Fotografer biasanya akan berusaha membawa kamera mereka untuk kepuasan. Namun jika kalian bukan fotografer yang profesional, membawa telefon bimbit pun sudah memadai. Yang paling penting ia senang untuk kalian bawa naik ke atas sana.
Subuh
Untuk muslim, kalian boleh solat subuh di puncak bukit broga hill. Ada kawasan lapang untuk kalian solat. Malah boleh berjemaah lagi. Awas.. Jangan leka dengan pemandangan matahari naik (sun rise) sehingga lupa solat subuh.
Sampah
Ini pun penting! Pastikan sampah yang kalian bawak naik, kalian bawak turun semula. Sediakan bekas sampah untuk kumpulkan sisa makanan dan pembungkus makanan untuk dibawa turun dan dibuang di bawah. Sama-sama kita menjaga alam sekitar.
Kemudahah/ fasiliti
Bukit Broga Parking
Bagi pengunjung yang datang menggunakan kenderaan sendiri, kalian tidak perlu risau. Ini kerana tempat parkir ada disediakan di kaki bukit. Dari sini kalian boleh terus mengikut trek untuk ke puncak
Bayaran masuk ke Bukit Broga Hill
Untuk mendaki, kalian dikenakan bayaran sebanyak RM1.00 untuk seorang. Jadi sediakan siap-siap duit kecil ya
Penutup
Kepada kalian yang sukakan aktiviti outdoor dan lasak, mencuba aktiviti hiking di Bukit Broga Hill ini adalah antara idea terbaik yang boleh kalian cuba. Selain daripada dapat keluarkan peluh, kalian juga dapat menikmati pemandangan matari terbit yang menakjubkan.
lama tak pergi broga , katanya ada trail baru! nnt update sekali dlm ni biar semua dpt rasa pemandangan terkini bukit broga
owh.. ok.. nanti akan update sini