Sejak balik daripada FAM Trip Air Asia sedikit masa dahulu, saya masih mencari-cari satu restoran yang memfokuskan kepada masakan Indonesia seperti yang saya pernah nikmati di Restoran Lombok Idjo di Jawa Tengah dulu.
Pencarian saya nampaknya belum berhasil. Ada la beberapa restoran masakan Indonesia yang hampir sama kualiti rasanya dengan restoran Lombok Idjo seperti Restoran Sari Ratu Prima. Namun feelnya masih tidak sama dengan feel semasa menikmati menu di sana.
Baru-baru ini eXplorasa mencuba satu lagi restoran masakan Indonesia yang terletak di KLCC iaitu Restoran Bumbu Desa KLCC.
Restoran Bumbu Desa KLCC
Dengan tagline: “Rangkaian Restoran Terkemuka Indonesia” dan impressi yang bagus daripada luar, restoran ini mampu menggamit kami untuk memasuki premisnya yang tampak unik dan menarik.
Restoran ini yang terletak di tingkat 4 pusat membeli belah KLCC sebenarnya bukan hanya menumpukan kepada masakan padang seperti restoran masakan Indonesia yang lain. Malah ia menggabungkan 3 jenis masakan utama Indonesia iaitu masakan Padang, masakan Sunda dan masakan Melayu.
Konsep restoran
Restoran ini berkonsepkan restoran asli Indonesia. Bukan sahaja masakannya sahaja yang bertemakan masakan Indonesia, malah susun atur perabot, hiasan dinding dan suasana di dalam restoran ini pun terasa seperti sebuah restoran Indonesia.
Sesuai dengan statusnya sebagai restoran yang agak eksklusif, restoran ini memang boleh dipuji dari segi kebersihannya.
Hiasan dinding dan perabotnya juga unik bertemakankan budaya Indonesia. Di satu sudut terdapat lukisan dan patung-patung seperti yang terdapat di restoran di Indonesia yang budayanya banyak dipengaruhi oleh agama hindu.
Menu menarik di sini
Semua menu-menu utama ada dipamerkan di atas meja di satu sudut restoran ini. Jadi anda tidak perlu bimbang jika anda tidak tahu apa yang anda order. Anda boleh lihat sendiri makanan yang anda ingin makan di meja hidangan ini.
Beberapa menu yang menarik sempat kami cuba sewaktu lawatan kami ke sini. Di antaranya:
Gado-gado
Menu ini adalah berasaskan sayuran segar. Ia disediakan oleh chef secara live di depan mata anda. Pelbagai sayuran segar yang dicelur dihidangkan bersama kuah kacang yang lazat.
Saya secara peribadi bukanlah peminat tegar sayur-sayuran ini. Tapi saya dengan selamba dapat menghabiskan separuh pinggan Gado-Gado yang sangat sedap dicicah kuah kacang yang mirip kuah kacang yang dimakan bersama sate.
Perkedel Jagung, Tempe Goreng dan Tauhu Goreng
Ada beberapa jenis tempe yang disediakan di sini seperti Tempe Bacem dan Tempe Mendoan. Kami sempat merasa tempe ini sebagai menu pembuka selera.
Menu ini sebenarnya adalah menu masakan Sunda. Ia dimakan bersama sos hitam yang agak pedas.
Talapia Goreng
Ini adalah menu yang wajib anda pilih jika ke sini.Ikan Talapia digoreng dengan garing sebelum dihidangkan kepada pelanggan. Cara memakan Talapia Goreng ini ialah ia dicicah dengan sambal hitam yang agak pedas.
Sungguh rangup dan sedap! Macam keropok pula jadinya.
Menu ini saya rekomen kepada anda jika anda tiada idea nak pilih menu yang mana nanti.
Kari Kepala Ikan
Rasanya agak berlainan dengan Kari Kepala Ikan yang kita biasa dapati di restoran-restoran mamak di malaysia ni.
Isi ikan sangat lembut dan kuah karinya sedap. Rasanya memang sedikit lain daripada kari yang biasa kita makan. Untuk rasa sebenar, anda perlu nikmati sendiri menu ini. Barulah anda tahu apa yang saya rasa.
Ayam Cabai Ijo
Menu yang berasaskan ayam ini berasal dari Sunda. Cili hijau tersebut menambahkan lagi rasa ayam yang digoreng ini. Nampak macam pedas. Tapi jangan risau. Ia tidaklah sepedas yang anda sangka. Anak-anak pun boleh mencuba.
Sup Kaki Kambing
Kaki kambing dipotong kecil untuk dijadikan sup. Terus terang saya katakan, sebagai penggemar daging kambing, saya suka menu ini. Supnya sedap dan kaki kambingnya berlemak.
Kambing Masak Hitam
Daging kambing dimasak dengan teliti sehinggakan tidak terasa hamis daging kambing. Orang yang tak suka daging kambing pun jika tidak diberitahu bahawa di dalam sup hitam itu adalah daging kambing tidak perasan yang dia memakan daging kambing.
Tumis Kailan
Untuk menu sayur, kami memilih sayur Tumis Kailan. ini adalah menu melayu Indonesia.
Nasi Liwet
Tidak lengkap rasanya jika tidak makan nasi. Lalu kami memilih Nasi Liwet. Pertama kali mendengar nama Nasi Liwet mendorong kami memilih untuk dicuba.
Ia adalah nasi putih yang ditabur dengan ikan bilis goreng di atasnya.
Menu-menu lain
Selain daripada menu-menu yang sempat kami cuba ini, ada banyak lagi menu yang disediakan di sini untuk pengunjung.
Ada Menu yang berasaskan udang, sotong sumbat, sayur kangkung, terung masak sambal dan macam-macam lagi antara menu-menu yang sempat kami ingat. Semuanya nampak menyelerakan dan menggoda selera.
Dessert @ pencuci mulut
Kuih Bakar
Untuk pencuci mulut kami dihidangkan dengan kuih yang berwarna hijau yang dihias ceria seperti muka orang yang sedang senyum. Kuih ini rasa dan rupanya adalah amat mirip dengan Kuih Bakar kita. Namun namanya saya lupa.
Pisang Saus Karamel bersama Aiskrim
Banana Split versi Indonesia. Best! Pisangnya tidak lembik dan adalah pasangan sempurna untuk aiskrim.
Minuman
Soda Gembira, Es Cendol dan Es Jeruk Kelapa (Orange Coconut)
Info lain restoran ini
Bumbu Desa @ Tingkat 4, KLCC
Facebook : www.facebook.com/bumbudesaMY
Waktu operasi: 11.00 pagi hingga 10.00 malam
Komen eXplorasa
Kekuatan restoran ini ialah ia berkonsepkan budaya asli Indonesia. Bukan sahaja dari segi menu yang ditawarkan malah susun atur, perabot dan hiasan dinding juga mengikut konsep budaya Indonesia. Kami yang pertama kali bertandang ke sini dapat merasakan “feel” yang cuba ditonjolkan.
Restoran ini agak eksklusif. Pelanggan yang datang tidak terlalu ramai seperti restoran-restoran biasa yang lain. Dengan sebab pelanggan yang tidak terlalu ramai ini, suasana di restoran ini terjaga daripada suasana yang sesak.
Terus terang kami akui, suasana yang sesak di restoran membuatkan kami tidak selesa untuk makan. Seterusnya mendorong kami memberi rating yang lebih rendah untuk itu. Restoran ini bebas daripada elemen tersebut.
Menu-menu di sini setakat yang sempat kami cuba, semuanya unik dan lazat-lazat belaka. Walaupun ianya mungkin tidak 100% setanding dengan restoran sebenar di Indonesia, namun ia sudah cukup memuaskan hati kami. Memang terasa menu Indonesianya.
Jadi kepada anda yang ingin mencuba masakan Indonesia khususnya masakan Sunda, Padang dan Melayu, kami cadangkan anda bertandang ke sini. Kami jamin anda akan berpuas hati dan berjumpa dengan menu Indonesia yang anda cari.
Rating
Review oleh sohoque pada .
Rating:
sedapnya air cendol tu… tempat yang jarang pergi ni KLCC…hehehe..
Makanan semua nampak menarik disini…. membuatkan perut saya menjadi lapar , nak pi lunch.