Assalamualaikum
Jika beberapa minggu yang lalu aku dijemput oleh pihak Resort World Genting untuk menghadiri Pra Perasmian Ekspo Tranformers, hari ini aku dijemput lagi. Kali ini untuk membuat liputan acara perasmian rasmi ekspo Transformers Malaysia 2014 tersebut. Majlis bermula pada pukul 11 pagi di Taman Tema Luar Genting Highland.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Dato Seri Nazri bin Tan Sri Abdul Aziz telah merasmikan majlis tersebut. Turut hadir sama ialah Dato’ Lee Choong Yan, President dan Ketua Pegawai Operasi Genting Malaysia Berhad, En Raymond Tew, Ketua Pegawai Eksekutif Target Exposition Sdn Bhd and En Aaron Chia, Naib Presiden eksekutif Genting Malaysia Berhad.


Selepas majlis tersebut kami telah dibawa melawat ke kawasan ekspo. Jika semasa pra perasmian dulu aku agak kabur tentang gambaran sebenar ekspo ini kerana info yang diberikan agak terhad, kali ini dapat merasai suasana sebenar ekspo yang bakal diadakan bermula 31 Januari 2014 ini sehingga 16 Februari 2014.
Ekspo tersebut mengandungi 6 dewan pameran kesemuanya yang berakhir dengan pameran Optimus Prime dan Bumblebee dengan saiz sebenar mengikut dalam filem. Ianya dipamerkan di dewan pameran terakhir iaitu di Arena of Stars.
Dewan pertama yang anda akan tempoh jika anda ke sana nanti ialah sejarah Transformers sejak ia dicipta sehinggalah sekarang. Anda akan melihat perubahan patung karektor robot Aotobots dan Decepticons daripada dulu sampailah yang sekarang.



Kemudian anda akan melalui dewan yang mempamerkan lebih kurang 1520 koleksi patung Transformer yang disumbangkan oleh komuniti Peminat Transformers Malaysia yang menggelarkan diri mereka TransMy.
Seterusnya anda akan melalui dewan yang yang mempamerkan kereta Chevrolet Camaro. Kereta sport ini ialah BumbleBee apabila ia bertukar bentuk menjadi kenderaan di dalam filem Transformers. Memang cantik dan stylo kereta ini. Peminat-peminta kereta sport pasti akan bergambar sakan di sini. Patung robot BumbleBee turut dipamerkan disini.
Perhentian anda yang seterusnya ialah Zon Peperangan (War Zone). Ini ialah zon 3D yang akan memaparkan kebanyakan robot Transformers yang biasa dilihat di dalam filem ataupun kartun Transformers sambil diiringi dengan lagu-lagu dan muzik daripada filem Transformers. Perjalanan melalui terowong ini pasti akan mengujakan anda.
Dewan pameran seterusnya ialah Dunia Cybertron Transformers. Dunia gelap yang penuh misteri. Di sini terdapat “All Spark”, batu berkuasa yang menjadi rebutan Transformers untuk melindunginya dan Decepticons untuk memperalatkannya dengan tujuan peribadi.


Selepas Dunia Cybertron anda akan memasuki terowong 3D. Terowong ini dilengkapi dengan 6 unit skrin Toshiba berukuran 84 inci beresolusi 4k ultra HD. Di sini pengunjung akan merasai pengalaman 3D Mapping dan augmented Reality dunia Cybertron secara interaktif.
Video 3D Mapping yang sempat dirakam:
Pengembaraan anda akan berakhir di Arena of star dimana anda akan dapat melihat Optimus Prime yang berketinggian 23 kaki dan BumbleBee yang berukuran 18 kaki tinggi. Kedua-dua nampak seperti hidup yang seperti yang kita lihat di dalam filem Transformers.
Pengunjung juga berpeluang untuk mengambil gambar bersama maskot Optimus prime setinggi 9 kaki dan maskot BumbleBee setinggi 7 kaki. Terdapat juga persembahan pentas, peraduan dan pembahagian hadiah di sana.
Ambillah kesempatan dimusim perayaan tahun baru untuk mengukuhkan pertalian kasih sayang dengan keluarga terutama anak-anak nada dengan membawa mereka ke ekspo terbesar Transformers di Asia Tenggara ini. Ekspo ini dijangka akan mendapat sambutan hangat dari seluruh Asia Tenggara dengan promosi yang giat dilakukan oleh pihak penganjur bersama-sama Pelancongan Malaysia sempena Tahun Melawat Malaysia 2014 (Visit Malaysia Year 2014) ini.
Tiket-tiket berharga RM55 untuk dewasa dan RM45 untuk kanak-kanak (4-12 tahun) dan warga emas. Ada juga pakej untuk keluarga iaitu RM180 2 dewasa dan 2 kanak-kanak. Bagi yang inginkan penginapan anda boleh mendaftar masuk ke mana hotel di Genting Highland.


Untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang ekspo ini, anda boleh melawati www.transformersmal.com.my ataupun boleh LIKE Fanpage Transformers Malaysia di Facebook. Untuk urusan emel, anda boleh menggunakan emel: transformers@targetexpo.com.my ataupun terus hubungi Target Exposition Sdn Bhd di talian 603-62592697.